Showing posts with label motivasi. Show all posts
Showing posts with label motivasi. Show all posts

Tuesday, December 9, 2014

Kisah Benar: 'Jangan Tunggu' @ Majalah EH!

Bersetuju dengan luahan hati penulis dalam menggambarkan perasaannya yang sebenar sewaktu menzahirkan "Jangan Tunggu"

Text/photo courtesy: Majalah EH!  http://eh.com.my





Ketika saya menulis warkah ini, terngiang-ngiang di fikiran lagu Allahyarham P.Ramlee yang begitu popular mendayu menerusi filem Sarjan Hassan. Tunggu sekejap, bak kata seniman agung ini yang menggambarkan keadaan di mana dia meminta kekasihnya untuk tangguhkan apa juga yang sedang wanita itu lakukan dan menikmati masa indah mereka bersama. 

"Tunggu sekejap, wahai kasih. Kerana hujan masih renyai..."


Itu sekadar bait lagu. Saya akui ada perkara yang wajar untuk ditangguhkan dan ditunggu. Namun tidak semua. Kerana orang kata, sabar itu indah. Apabila kita tunggu sesuatu itu dengan sabar, maka apa yang datang seterusnya adalah akibat yang indah. Contohnya seperti petani yang bertungkus lumus bekerja untuk mencari sesuap nasi. Menanam padi mengambil masa berbulan untuk menampakkan hasil. Mana mungkin dia akan dapat berasnya keesokan hari. Justeru, dia perlu tunggu dan menangguhkan agendanya sehingga tiba masa menuai, dia akan dapat beras yang boleh dijual bagi menampung kehidupan keluarganya. Ya, itu satu contoh menunggu atau bertangguh yang paling relevan dalam dunia. Tetapi, bertangguh dalam kehidupan berkaitan perasaan dan masa depan dari segi kerja, sosial mahupun kasih sayang hanya mendatangkan masalah dan kecelaruan.

Pagi tadi, saya dikejutkan dengan perkhabaran mengenai salah seorang teman dalam industri fesyen tempatan yang pergi menghadap Ilahi secara mengejut. Teman ini menderita penyakit kanser sejak tiga tahun lepas dan sedari itu dia berjuang untuk melawannya. Dia tidak pernah bertangguh mahupun tunggu sehingga masa yang betul untuk bertindak mengikut naluri bilamana dia berhenti bekerja sebagai jurutera dan meneruskan minatnya dalam bidang fesyen sebagai penulis blog. Sementelah penyakit yang dihidapi membuatkan dia cepat lelah, dia seakan serasi dengan bidang fesyen yang kemudian menjadi sumber mata pencariannya. Sikapnya yang sentiasa positif dan berhati baik menjadi inspirasi kepada ramai orang, termasuk saya. Dia banyak membantu saya dari dahulu ketika masih mentah dalam bidang penulisan ini dan tegar menjadi teman sehingga ke hujung nyawanya. Mungkin sudah lama tidak berjumpa, saya terlupa untuk bertegur sapa dengannya walau hanya melalui SMS. 

Kelmarin, saya dikejutkan dengan berita yang dia tidak mampu bernafas dengan baik dek kerana penyakit kanser yang kembali menyerang secara serius. Saya terpana seketika, namun kembali melakukan tugas sambil berazam akan menanyakan khabarnya melalui panggilan telefon selepas waktu bekerja. Ya, saya bertangguh. Dan akhirnya saya lupa untuk bertanya khabar apabila tiba di rumah ke pangkuan suami dan keluarga. Saya lihat wajah keluarga yang gembira dan terlupa mengenai teman yang sedang menderita bertarung nyawa. 

Ralat bilamana mengetahui dia sudah meninggal dunia dan tidak sempat langsung untuk bertanya khabarnya. Menyesal kerana bertangguh walhal saya boleh sahaja sekadar SMS jika pun tidak sempat untuk menelefon. Tuhan menunjukkan kekuasaan-Nya dimana ajal itu sememangnya tidak boleh dijangka. Kerana itu, jangan pernah bertangguh atau tunggu masa yang sesuai untuk menunjukkan rasa kasih dan penghargaan kepada orang sekeliling, lebih-lebih lagi kepada mereka yang mengasihi anda. Jangan pernah lupa untuk kucup tangan kedua ibu bapa setiap kali melangkah keluar daripada rumah dan elak melukakan hati mereka kerana sesungguhnya bila-bila masa sahaja mereka bisa ‘direnggut’ pergi dari dunia ini. ‘Nantilah, bukan dia orang nak pergi mana pun’ atau ‘Esoklah aku telefon’ adalah tanggapan dan ayat yang seboleh mungkin perlu dielakkan. Jangan pernah tunggu dan jangan sesekali membiarkan orang dikasihi pergi tanpa tahu apa yang tersirat di hati. 

Beralih pula soal jodoh. Seperti yang kita ketahui, bila sampai masa Allah akan temukan kita dengan jodoh yang telah ditetapkan sejak azali. Sekali lagi, jangan tunggu. Benar, jodoh itu rahsia Allah. Namun diri sendiri juga perlu berusaha untuk memperbaiki diri menjadi insan yang lebih baik dari hari ke sehari. Tidak pernah saya setuju dengan pendapat orang yang mengatakan, ‘biarlah, bila sampai masa jodoh akan tiba dengan sendirinya’. Kisah seorang rakan lelaki patut dijadikan pedoman buat mereka yang menunggu jodoh tanpa usaha. Dia adalah seorang lelaki yang baik. Saya akui sendiri kerana cara layanan dan hormatnya pada wanita membuatkan hati senang ingin berkawan dengannya. Namun sayang, dia tidak pernah mahu berusaha untuk memperbaiki diri menjadi lelaki yang lebih baik kerana menurutnya, jika benar seseorang wanita itu mencintai dia sepenuh hati, pasti menerima segala kekurangan dan baik buruk dirinya. Saya mengeluh perlahan. Walaupun dia punya hati yang baik, namun dia bagai acuh tidak acuh memperbaiki kehidupan dan kerjayanya. Dengan penampilan yang bagai tidak terurus dan tahap kewangan yang tidak memberangsangkan, sesiapa juga akan takut mengikat komitmen dengannya. Rakan lelaki ini tegar meyakinkan saya yang penantiannya ini akan berbaloi di akhir perjalanan. Itu perbualan 10 tahun yang lalu. Kini, dia sudah pun menginjak usia 35 tahun dan dia masih kekal hidup sendiri. Yang sedihnya, dia tetap dengan pendirian yang sama bersama motor cabuknya dan kelulusan ijazah yang tidak digunakan dengan baik. Kekal di dalam angan-angan akan ada wanita cantik yang menerima keadaan dirinya yang selekeh dan tidak berduit. Bukan ingin mengagungkan wang, namun sedarlah ketua keluarga itu tanggungjawabnya menjaga kebajikan anak dan isteri dengan makan pakai yang cukup dan tempat berlindung. Dan kesemua itu menggunakan wang. Sedangkan mahu menghantar anak ke sekolah agama juga memerlukan wang. Bolehkah keluarganya bergantung kepada seorang lelaki yang menunggu bulan jatuh ke riba tanpa ada usaha apa-apa? 

Justeru, jangan tunggu untuk mengubah nasib hidup sendiri dan jangan sesekali menangguh masa kerana hidup hanya sekali. Semakin anda tangguh masa yang ada, semakin anda rugi. Ketahuilah sikap bertangguh hanya memberi kesusahan, bukan sahaja terhadap diri sendiri tetapi juga kepada orang lain. Sikap ini juga menjadikan sesuatu masyarakat itu semakin mundur dan susah untuk maju. Contohnya, orang Eropah, Jepun dan Korea begitu menghargai masa yang ada dan sentiasa tepat pada masanya. Mereka adalah contoh-contoh orang yang berjaya sehingga dipandang tinggi penduduk dunia. Pernah saya ke Singapura atas dasar kerja dan tinggal di hotel 5 bintang. Oleh kerana ketua kumpulan media Malaysia berasal dari luar negara, kami perlu berkumpul 30 minit lebih awal daripada kumpulan media dari negara lain. Hati saya tergelak kecil bilamana ada rakan media yang merungut perlu berkumpul terlalu awal, walhal masa yang ada untuk menunggu itu boleh digunakan untuk berehat di katil empuk dan selesa. 

Di saat saya menulis ini, diakui terlalu banyak sesalan yang jika mampu ingin saya putar kembali masa dan perbaiki apa yang telah saya tangguh dan tunggu untuk lakukan. Antaranya, timbunan kerja yang banyak jika dilakukan awal dan terurus masanya pasti tidak mendatangkan masalah ketika menghampiri masa deadline. Suka benar bertangguh dan dilonggok segala kerja untuk dilakukan di akhir masa. Pernah juga saya bertangguh dalam menyatakan hasrat hati kepada orang yang dicintai, lalu melihat dia melangkah pergi mencari kebahagiaan sendiri. Atau juga rasa sesal saya kerana tidak pernah ingin mendalami ilmu agama dengan lebih mendalam. Sering sahaja ditangguhkan niat itu kerana sering beranggapan esok masih ada. Mungkin boleh juga memperkatakan perihal solat yang sering dilengah-lengahkan untuk dilakukan di akhir waktu. Jangan sampai Allah mencabut nyawa saya sebelum sempat saya bertaubat dan membuat amal ibadat kerana sikap bertangguh dan tunggu sehingga waktu sesuai. Al-fatihah buat Ami Schaheera dan takziah kepada keluarganya.